03 - 4131 7460 admin@averagedrone.my

Drone Polis Cameron Highlands

KUALA LUMPUR 30 Mac – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron bagi tujuan meningkatkan tahap pemantauan dalam membendung isu pencerobohan tanah haram khususnya di Cameron Highlands.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, cadangan baik itu sedia dipertimbangkan ke arah menambah keupayaan bagi mengenal pasti sebarang aktiviti pencerobohan tanah haram di kawasan tanah tinggi itu.

“Pemantauan melalui penggunaan teknologi sememangnya sudah dilaksanakan malah penggunaan satelit sedang berjalan seperti biasa.

“Namun selain penggunaan teknologi, yang lebih penting adalah untuk meningkatkan kesedaran sekali gus mengubah minda penduduk di kawasan terbabit terhadap kepentingan melindungi menjaga hutan berbanding membuka hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) berhubung perkembangan aktiviti pencerobohan tanah di Cameron Highlands yang turut mencadangkan penggunaan teknologi tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Shahidan, kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi membendung kegiatan berkenaan termasuk memperkasakan aktiviti penguatkuasaan.

“Kerajaan telah melancarkan Ops Gading untuk membersihkan semua kegiatan pencerobohan tanah haram khususnya di tanah milik kerajaan seluas 2,258 hektar di kawasan berkenaan.

 

“Selain operasi membersihkan kawasan pertanian dan premis haram di Cameron Highlands, kerajaan turut komited menangkap pendatang tanpa izin di kawasan tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shahidan memberitahu, kerajaan juga tidak mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara di Cameron Highlands sejak tahun 2000 dan hanya memperbaharui lesen tersebut bagi tujuan rancangan pemulihan, pengekalan dan penambahbaikan di kawasan peranginan itu.

 

“Dalam masa sama pemantauan undang-undang secara berterusan turut dijalankan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mendirikan pos kawalan tetap supaya rondaan dibuat bagi memastikan tiada lagi pencerobohan baharu berlaku di Cameron Highlands,” katanya.

  • See more at: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/pertimbang-guna-dron-pantau-cameron-highlands-1.75563#sthash.n1d0chv2.dpuf